Mubadalah.id – Saya sudah muak dan meluat agamawan bercakap tentang kesucian Maryam binti Imran. Boleh tak ambil sisi lain dalam memandang cerita Maryam binti Imran dan Isa alaihissalam ini?
Pertama, fokus kepada perilaku masyarakat dalam berhadapan kehamilan Maryam binti Imran dan kelahiran Isa. Perempuan yang kita akui baik dan mulia oleh masyarakatnya tetapi tetap mereka tohmah dengan fitnah. Lalu hanya intervensi Tuhan (melalui mukjizat Isa) sahaja yang boleh selamatkan Maryam binti Imran daripada tuduhan buruk terus menerus daripada masyarakatnya.
Bagaimana nasib Maryam binti Imran, ibu Nabi Isa, perempuan yang baik itu pun tak selamat daripada prasangka-prasangka masyarakatnya. Apatah lagi perempuan-perempuan biasa yang lain. Semuanya hanya kerana satu, tidak mempercayai cerita perempuan.
Stop sejenak, fikirkan berapa ramai mangsa kekerasan seksual berhadapan dengan masalah ini, malah distigmatisasi lagi dan kita salah-salahkan. Kerana orang tidak mahu mempercayai dan menerima apa yang menimpa diri dia adalah salah pelaku sepenuhnya.
Tetapi apa yang kita ulang dan ulang cerita Maryam binti Imran ini adalah pada kesucian diri dia. Bukan mempersoalkan perilaku-perilaku asshole masyarakat pada perempuan baik apatah lagi perempuan-perempuan yang ‘dipandang hina’.
Pengulangan Narasi Kesucian Maryam binti Imran
Mengulang-ulang naratif kesucian Maryam binti Imran hanyalah menguatkan kesedaran dalam kepala kita. Bahawa perempuan bukan manusia tetapi hanyalah sekadar perempuan. Kalau perempuan baik maka layaklah dia diangkat Tuhan. Kalau perempuan tak baik, selayaknya diburukkan Tuhan, melalui layanan buruk manusia. Seolah-olah hak kemanusiaan perempuan itu hanya untuk perempuan baik sahaja.
Hak kemanusian perempuan tidak sekali-kali boleh kita cabut sebagaimana lelaki walaupun dia berdosa. Biasnya kita di sini adalah tidak pernah kita berbicara tentang kesucian kehormatan lelaki. Apatah lagi menerakakan lelaki-lelaki jalang dan melakukan kekerasan seksual. Mengatakan mereka lelaki hina jauh sekali. Apakah perempuan yang melakukan dosa tingkatnya lebih hina daripada lelaki yang melakukan dosa?
Bicara kesucian kehormatan dalam agama lebih bias kepada perempuan. Perempuan mereka sunatkan supaya tidak ‘menjalang’ di masa dewasa. Apakah perempuan mampu menjalang tanpa adanya lelaki yang menjalang? Berhentilah bercakap tentang kehormatan perempuan dengan simboliknya Maryam binti Imran.
Ia menjijikkan bahkan hanya memenuhi imaginasi nafsu lelaki untuk mendapatkan perempuan dara tetapi tidak pernah bercakap kemahuan perempuan yang berhak juga kepada keterunaan lelaki.
Isu kedua, tentang tugas profetik Isa alaihissalam yang membela golongan tertindas dan melawan kezaliman sang penguasa. Itu yang patut difokuskan bukan membincangkan kenabiannya atau ketuhanannya.
Agama Menjadi Rahmat Sekalian Alam
Sepatutnya hari-hari perayaan besar umat agama lain adalah hari kita semua merenung dan mencari common ma’ruf dan bukan mencari titik persamaan apatah lagi perbezaan. Saya sudah tidak percaya lagi pada wacana mencari titik persamaan antara agama apabila wacana itu sudah ‘disalahgunakan’ untuk melegitimasi superioriti agama tertentu. Ini masa yang amat crucial untuk mencipta damai di saat umat manusia berpecah-pecah kerana pelbagai sebab termasuklah identiti agama.
Tuhan sudah berfirman: ‘Jika Tuhanmu menghendaki, maka Dia akan menjadikan manusia itu umat yang satu, (tetapi tidak begitu) maka mereka tetap saling berbeza dan berselisih pendapat’. (Hud: 118)
Perbezaan manusia adalah ketentuan Tuhan yang tidak mungkin kita ubah sehingga ke hari kiamat, jadi pilihan yang kita ada cuma menambah perselisihan dan permusuhan atau menambah jalan-jalan perdamaian. Pilihlah perdamaian dan common good. Baru lah agama ini benar-benar dapat menjadi rahmat buat sekalian alam. []